Memesatkan Kemajuan Ekonomi



Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam pada 5 Oktober ini genap 25 tahun di atas takhta pemerintahan Negara Brunei Darussalam.

Dalam tempoh suku abad itu, rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam berasa sangat bertuah kerana sentiasa diberi perhatian yang berat terutama dalam pelbagai masalah yang bersangkutan dengan kehidupan seharian mereka sama ada di peringkat negara mahupun di peringkat mukim dan kampung sesuai dengan sikap baginda yang sentiasa pemedulian.

Tidak kurang pentingnya, baginda merupakan seorang ketua negara yang mempunyai wawasan (vision) untuk masa depan negara dan rakyat.

Langkah ini bertepatan dengan ikrar dan keazaman baginda dalam titah sulung baginda pada 5 Oktober, 1967 yang menekankan sedaya upaya berusaha “Menjalankan dasar-dasar paduka ayahanda dan akan sentiasa memelihara keamanan, ketenteraman, dan laila usaha bagi kemakmuran negara serta memelihara nama baik Negeri Brunei. Juga mementingkan laila usaha dan meninggikan taraf hidup rakyat melalui laila rancangan dan kesejahteraan perkembangan negara yang telah dan sedang dibuat oleh paduka ayahanda dahulu.”

Bagi mencapai hasrat murni untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan ekonomi negara, asas untuk perkembangan itu telah disediakan oleh kerajaan baginda dengan menyediakan pelbagai infrastruktur utama antaranya pembinaan Pelabuhan Air Dalam Muara yang siap dalam tahun 1972.

Begitu juga pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei yang dibuka rasmi dalam tahun 1974.

Kedua-dua kemudahan ini sebagaimana yang kita saksikan ketika ini telah memainkan peranan penting dalam hubungan perdagangan dan hal ehwal antarabangsa dengan dunia luar. Lebih-lebih lagi dengan penubuhan Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RBA) yang memulakan perkhidmatan dalam tahun 1975.

Kemudahan asas ini kemudian dipertingkatkan lagi dengan penyediaan sistem telekomunikasi yang mutakhir. Contoh yang paling ketara ialah Pelancaran Sistem Kabel Dasar Laut Negara Brunei Darussalam - Singapura yang disempurnakan oleh baginda sendiri pada 28 April lepas.

Kemudahan itu adalah sebahagian dari projek Sistem Kabel Dasar Laut antara Negara Brunei Darussalam - Singapura, Negara Brunei Darussalam - Malaysia - Filipina yang menelan belanja kira-kira B$200 juta.

Kesemua kemudahan ini terbukti memberikan sumbangan besar dan berharga dalam perkembangan ekonomi negara masa kini dan untuk abad ke-21, yang tentu lebih mencabar dengan corak perhubungan yang semakin pantas.

Menyentuh sumber ekonomi yang bergantung kepada minyak dan gas selama ini, baginda dengan bijak mengambil langkah untuk mengurangkan pergantungan itu dengan mempelbagaikan ekonomi melalui perindustrian.

Usaha awal itu dirintis dengan penubuhan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dalam tahun 1988.

Salah satu kejayaan yang membanggakan di bidang perindustrian ini, dalam tahun 1990 negara kita mencatatkan eksport pelbagai jenis pakaian yang berkualiti tinggi bernilai US$9.8 juta (kira-kira B$16 juta) yang mendapat pasaran di negara-negara maju seperti United Kingdom dan beberapa negara Eropah.

Ketiga-tiga syarikat pengeluar pakaian yang ditubuhkan sejak tahun 1988 telah memperlihatkan pencapaian yang membanggakan.

Contohnya, Brutek Manufacturing (B) Sendirian Berhad yang mengeksport hasil keluarannya sebanyak 143, 176 dozen dalam tahun 1988 telah berjaya meningkatkan hasil keluarannya kepada 194,741 dozen di tahun berikutnya. Kemudian meningkat lagi kepada 212,906 dozen pada tahun 1990 yang bernilai US$6.27 juta.

Manakala Katek Garment (B) Sendirian Berhad pula dalam tahun 1990 berjaya mengekspot barang keluarannya sebanyak 6,009 dozen dengan nilai US$0.41.

Sementara Azhimu Garment and Textile (B) Sendirian Berhad pula berhasil mengeksport barangan mereka sebanyak 40,415 dozen yang bernilai US$3.12 juta dalam tahun yang sama.
Di bidang pembuatan perabot pula, hasil keluaran tempatan baru-baru ini berjaya menarik minat para pengguna di Jepun dalam suatu pameran perabot antarabangsa di Tokyo.

Pencapaian itu, dipergunakan dengan sebaik-baiknya oleh  Pihak Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama dengan langkah susulan mengadakan seminar dan bengkel kepada para pengusaha perabot dengan mendatangkan dua orang pakar di bidang berkenaan dari negara ‘Matahari Terbit’ itu.

Begitu juga di bidang perikanan, pihak kementerian tidak kendur-kendur mengambil langkah untuk memesatkan perkembangan di bidang itu khususnya di bidang ternakan udang galah dan ikan air tawar melalui khidmat nasihat dan bantuan kepakaran kepada para pengusaha tempatan.

Alhamdulillah, setakat ini usaha itu juga telah menunjukkan hasil yang memberangsangkan dan mendapat sambutan di pasaran tempatan.

Selain itu, satu lagi inisiatif baginda dalam memperkukuhkan sumber pendapatan dan kewangan negara serta sebagai jaminan kesejahteraan generasi akan datang ialah penubuhan Agensi Pelaburan Brunei (BIA) pada 18 Julai, 1984 yang pada asasnya dipertanggungjawabkan untuk mengawal dan mengurus ‘foreign reserves’ dan pelaburan-pelaburan kerajaan baginda.

Penubuhannya merupakan era baru dalam perkhidmatan-perkhidmatan kewangan kerajaan baginda selain merupakan perkembangan dalam bidang ‘investment banking’ dan ‘investment management’.

Sejak penubuhannya, pendapatan dan keuntungan dari pelaburan negara yang diuruskan telah berlipat ganda yang dapat menampung peruntukan-peruntukan kewangan bagi projek-projek pembangunan negara.

“Walau bagaimanapun pelaburan negara ini adalah dikhaskan sebagai simpanan untuk generasi akan datang (Future Generation Funds) bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara yang berterusan,” jelas baginda ketika bertitah di Istiadat Mengadap dan Mengurniakan Bintang-Bintang Kebesaran Negara Brunei Darussalam sempena ulang tahun hari keputeraan baginda yang ke-43 pada 15 Julai, 1988.

Di samping itu, baginda juga telah menitahkan penubuhan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) yang dilancarkan oleh baginda sendiri pada 29 September, 1991.

Penubuhan TAIB itu adalah sebagai salah satu cara untuk mempraktikkan Islam sebagai cara hidup dan juga dimaksudkan untuk memperkembangkan sosioekonomi umat Islam di negara ini.

Menurut baginda, tabung itu juga bertujuan menggalakkan masyarakat Islam di negara ini untuk mengumpul wang bagi membolehkan mereka menunaikan ibadat haji di samping membuat pelaburan dalam bidang-bidang yang cocok dengan prinsip-prinsip syarikat Islam.

Antara fungsi TAIB ialah menjalankan aktiviti-aktiviti pelaburan yang dibenarkan oleh Islam; dan mendapat pulangan dividen dan bonus kepada penyimpan-penyimpan atas wang simpanan mereka.

“Tabung ini akan menjalankan usahanya melalui sistem simpanan kewangan yang akan diinvest atau dilaburkan untuk mencari keuntungan-keuntungan tertentu. Dan tertakluk kepada kadar keuntungan yang diperolehi., dividen atau bonus akan dibayar kepada pelabur-pelabur pada waktu-waktu yang akan ditetapkan, iaitu setelah menolak bayaran-bayaran yang dimestikan seperti zakat, bayaran perbelanjaan pengurusan tabung dan seumpamanya.” Titah baginda.

Sesungguhnya langkah kerajaan baginda ini merupakan satu lagi kurnia bermakna kepada rakyat dan penduduk negara ini khususnya yang beragama Islam dalam sama-sama menikmati sistem pengurusan ekonomi Islam yang mendapat jaminan Allah Subhanahu Wataala.

Satu lagi langkah yang penting di bawah kepimpinan baginda ialah penubuhan bank Islam yang sedang giat diusahakan dan insya-Allah akan menjadi kenyatan sedikit masa lagi.

Selain penubuhan bank berkenaan, kerajaan baginda juga berhasrat menubuhkan satu Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Menurut baginda, penubuhan skim itu antara lain bertujuan untuk memberi kemudahan perlindungan sosial menampung keperluan ‘hari tua’ rakyat dan penduduk negara ini sama ada yang berkhidmat di sector awam ataupun sector swasta.

Sekali lagi kita melihat betapa beratnya perhatian yang baginda berikan semata-mata untuk kesejahteraan kita semua dalam arus pembangunan negara yang begitu pesat.

Di samping itu, masa depan usahawan tempatan juga menarik perhatian baginda terutama dalam mendampingi abad ke 21 nanti yang dijangka amat sengit dan mencabar.

Baginda mengingatkan, bagi usahawan setempatan, kunci kejayaan mereka ialah kecekapan bersaing dan pandai merebut peluang-peluang yang ada.

“Di samping itu, mereka juga mestilah bijak mengatur strategi serta mempunyai berbagai pengetahuan termasuklah kemahiran." titah baginda sempena hari keputeraan baginda yang 45 tahun di Balai Singgahsana Istana Nurul Iman.

Baginda menyedari untuk mencapai ke peringkat itu bukanlah mudah. Ia memerlukan masa yang panjang yang asasnya, tegas baginda, tidak lain ialah pendidikan yang sempurna yang mengandungi dasar dan falsafah ke arah itu, yang bererti tumpuan dan harapan yang utama ialah kepada generasi baru yang mungkin akan lahir dalam dekad 90-an ini dan seterusnya.

“Atas asas inilah, yakni bagi memenuhi keperluan industri dan perniagaan jangka panjang di negara ini, maka kerajaan beta akan mewujudkan satu sistem pelajaran teknik dan vokasional melalui satu badan yang akan diberi nama sebagai ‘Majlis Pelajaran Teknik dan Vokasional Negara Brunei Darussalam,” jelas baginda.

Dengan penubuhan majlis itu, titah baginda, insyaAllah, dapatlah kita mengurus sendiri segala isi kursus termasuk peperiksaan dan sijil yang berkenaan, yang pada masa yang lalu kita masih turut bergantung kepada badan-badan pelajaran teknik luar negeri.

Di samping langkah-langkah itu, baginda tidak lupa menyarankan agar setiap rakyat dan penduduk sentiasa mengamalkan sikap berdikari khususnya kepada generasi muda.

Sifat itu hendaklah disemai dalam diri mereka sejak awal-awal lagi, titah baginda kerana dengan wujudnya semangat berdikari di dalam diri rakyat dan penduduk di negara ini, ianya akan dapat mengukuhkan ketahanan bangsa dan mendorong mereka untuk terus berusaha bagi mewujudkan satu masyarakat dan bangsa yang merdeka lagi berdaulat.

Semangat berdikari ini, sememangnya telah lama wujud di kalangan para peniaga dan usahawan kita terutama dengan dorongan dan insentif yang diberikan oleh kerajaan baginda lebih-lebih lagi di tahun-tahun kebelakangan ini.

Jika kita perhati dan mengikuti perkembangan semasa, bilangan usahawan dan peniaga yang terdiri dari anak-anak tempatan semakin bertambah khususnya di bidang perniagaan secara runcit, penjualan sayur-sayuran dan makanan terutama di pasar malam dan tamu harian dan tamu hujung minggu.

Apatah lagi dengan adanya inisiatif jabatan kerajaan seperti Jabatan Kebajikan, Belia dan Sukan membimbing para belia berniaga melalui skim latihan yang disediakan serta penyediaan ruang-ruang dan tapak-tapak perniagaan oleh jabatan-jabatan bandaran dan Kementerian Perindustrian dan Sumber-Sumber Utama.

Sesungguhnya kita, rakyat dan penduduk negara ini amat bertuah dengan wujudnya galakan dan peluang-peluang yang disediakan oleh kerajaan baginda. Soalnya terserah kepada kita untuk merebut dan mempergunakan dengan sebaik-baiknya semata-mata bagi kesejahteraan kita, generasi kita dan negara kita umumnya.

Mudah-mudahan dengan pimpinan bijaksana baginda yang berterusan. Kita dan Negara Brunei Darussalam akan terus menikmati kemakmuran dan rahmat Allah Subhanahu Wataala.